وَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ شَرٌّۭ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
"... Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah Ayat 216)
Ya, selalunya kita terlalu fokus kepada masalah yang terjadi sehingga terlupa untuk melihat kepada hikmahnya sesuatu perkara itu terjadi. Lemahnya kita sebagai manusia. Bila dah puas melepaskan kemarahan, ketidakpuasan barulah kita nak berfikir. Barulah kita nak nampak kebaikan yang tersembunyi. Sedangkan Allah sendiri sudah nyatakan di dalam Al-Quran bahawa tidak semua perkara yang kita suka itu baik untuk kita dan tidak semua perkara yang kita tidak suka itu buruk untuk kita. Maka? Sentiasalah bersangka baik terhadap segala sesuatu yang terjadi, kerana ia berlaku dengan izin Allah dan ia tidak berlaku juga dengan izin Allah. Bersyukur jika Allah memberikan apa yang kita minta dan lebih bersyukur ketika Allah tidak memberikan apa yang kita minta kerana itu adalah keinginan Allah sendiri, tanda kasih sayang Allah kepada kita kerana DIA lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Alhamdulillah...
Manusia selalu lupa, bahawa setiap ujian yang hadir itu adalah tanda kasih sayang Allah kepada kita. Allah hadirkan ujian sama ada untuk mengampunkan dosa, untuk mengangkat darjat dan ingin kita kembali kepada dia sebagai hamba. Semuanya adalah untuk kebaikan kita sebagai hambanya. Sesungguhnya, setiap ujian yang hadir itu, tidak melebihi daripada kemampuan kita untuk menghadapinya. Kita memandang rendah kepada diri merasakan aku tidak mampu menghadapi semua ujian ini. Tapi siapa kita nak berkata begitu, sedangkan ujian itu sendiri hadir daripada Allah? Allah tidak pernah membebani seseorang melebihi kemampuannya.
لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya." (Al-Baqarah Ayat 286)
Cuba bermula saat ini, kita fokuskan fikiran kita ke arah yang lebih baik. Cuba setiap kali ujian datang menerpa, kita twist fikiran kita daripada negatif kepada positif. Sebut pada diri kita, Allah yang hadirkan ujian ini. Ia hadir dengan izin Allah. Ada hikmahnya yang Allah nak beri. Ada kebaikannya dalam hadirnya ujian ini. Semoga Allah permudahkan untuk menghadapi ujian ini dan mengampunkan dosa asbab kita bersabar. InsyaAllah...
Ia tidak mudah, tapi ia tidak mustahil. Sentiasa mengingatkan diri kita untuk selalu bersangka baik dengan Allah dahulu. Sesungguhnya Allah itu mengikut sangkaan hambanya. Buruk kita fikir, buruklah kehidupan kita. Baik kita fikir, maka yang baiklah yang akan datang kepada kita. Diri kita, akal fikiran kita, hawa nafsu kita, kita yang bertanggungjawab ke atasnya. Sentiasa berdoa kepada Allah meminta supaya setiap perbuatan kita, percakapan kita, fikiran kita semuanya dibimbing oleh Allah SWT dan bukannya mengikut kehendak diri kita. Sebab kita ini manusia yang lemah. Tiada daya dan kekuatan melainkan daripada Allah SWT. Mohon juga kepada Allah untuk sentiasa menetapkan hati kita dalam agamanya dan dalam ketaatan kepadaNYA. Allahumma aamiinn...